Rabu, 15 Agustus 2007

KETENANGAN HATI

Banyak orang diberikan Allah kepintaran, kemasyhuran, kesihatan yang baik dan harta yang banyak, namun hatinya dilamun resah dan hidupnya dirasakan hambar. Mahligai yang besar dirasakan umpama sangkar atau penjara. Makanan yang sedap dirasakan tawar dan tidak menyelerakan. Anak pinak dan sababat handai yang ramai dirasakan membosankan. Hidup seperti tiada erti dan hanya bertujuan menghabiskan saki baki umur sementara menunggu hari kematian.
Banyak pula orang yang hidupnya kelihatan susah, tiada kemasyhuran, rumahnya kecil dan makanannya sederhana, namun pada hakikatnya dia sangat bahagia dan gembira. Dia menikmati hidup riang kerana hatinya tenang, walaupun berdepan dengan kemelut hidup yang mencabar.
Tidak ada ketenangan hati jika tiada iman
Tidak diragui lagi bahawa ketenangan hati adalah sebab utama untuk hidup bahagia. Tetapi ketenangan hati tidak dapat dihasilkan oleh kekayaan, kemasyhuran dan kekuatan fizikal. Ketenangan hati hanya akan diperolehi dengan satu sumber iaitu iman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Ketenangan hati adalah nikmat Allah yang dianugerahkan kepada hamba-hamba pilihan-Nya sahaja, supaya mereka berhati teguh dikala orang lain goyah, yakin di kala orang lain ragu, sabar ketika orang lain keluh kesah dan berlapang dada semasa orang panik.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah dari keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan. bumi, Allah itu Maha Mengetahui dam Maha Bijaksana. (AI-Fath : 4)
Firman Allah lagi yang bermaksud:
"Dan siapa yang hendak dibiarkan sesat oleh Allah, dijadikan Allah dadanya sesak dan sempit, seperti orang yang naik ke tempat yang tinggi." (A-An'am : 125) Mengapa ketenangan hati hanya diperolehi dengan keimanan?
Hanya orang yang beriman sahaja yang akan menikmati ketenangan hati kerana:
* Orang beriman menyahut panggilan fitrah. Orang beriman memperoleh ketenangan kerana dia menempuh hidup yang sesuai dengan fitrahnya. Fitrah manusia yang tidak dapat dipenuhi dengan ilmu, peradaban dan falsafah, hanya dapat dipenuhi dengan keimanan kepada Allah. Fitrah manusia yang sentiasa lapar dan dahaga hanya akan dapat dipuaskan dengan mengenali Allah dan menghadapkan hidup kepada-Nya. Apabila fitrah telah dipenuhi dengan keimanan dan rasa puas maka manusia akan hidup gembira, riang dan aman daripada ketakutan.
Orang yang tidak mahu belajar mengenali Allah dan lupa diri sendiri maka Allah akan membiarkannya hidup menderita.
Firman Allah yang bermaksud:
"Orang-orang yang lupakan Allah, maka Allah melupakan mereka terhadap diri mereka sendiri"
* Orang beriman mengetahui rahsia penciptaan alam dan dirinya. Hati manusia selalu berbisik, "Siapakah Pencipta alam serba teratur dan dirinya yang banyak misteri? Apakah tujuan penciptaan kedua-duanya?" Persoalan ini sering mengeliru dan merunsingkan manusia. Ada yang telah menghabiskan umur puluhan tahun untuk mencari jawapannya, namun tidak bertemu. Akhirnya hati terus terseksa kerana fikiran bercelaru, keliru dan ragu-ragu. Orang yang beriman hatinya tenang dan puas kerana persoalan ini dijawab oleh Allah SWT. Hatinya yakin dan tidak ragu-ragu.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah, ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu." (Ath-thalaq: 12)
Firman Allah lagi yang bermaksud:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah padaKu." (Ad-Dzariat : 56)
Dunia ini adalah kerajaan Allah. Manusia adalah khalifah Allah, diciptakan untuk memuja dan mentaati-Nya. Orang beriman memahami semua ini lalu melaksanakannya.
* Orang beriman jelas matlamat hidup yang hendak ditujunya. Orang yang tidak beriman tidak tahu ke mana kesudahannya, hidup meraba-raba dalam kegelapan dan berjalan tanpa haluan. Orang beriman bebas daripada semua kebimbangan kerana hidupnya terus ditujukan kepada matiamat mencapai keredaan Allah. Dia tidak peduli sama ada orang lain suka atau tidak terhadap dirinya, asalkan dia mendapat keredaan Allah. Bagi orang yang beriman, perjalanan mencapai matlamat hidupnya tidak ada yang sulit. Segala yang pahit menjadi manis, segenap pengorbanan dirasakan ringan, bahkan dihadapinya dengan tenang dan gembira. Tidak berasa takut dan cemas, tidak gentar dan ngeri terhadap sesuatu demi memperolehi keredaan Allah SWT.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman. (AI-Fath: 4)
Orang beriman berasa dirinya dekat dengan Allah
Orang yang beriman tidak berasa bersendirian atau kesepian dalam hidup ini. Mereka berasa sangat dekat dan erat hubungan dengan Allah SWT.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah." (AI-Baqarah : 115)
Firman Allah lagi yang bermaksud:
"Dia (Allah) ada bersama kamu di mana saja kamu berada, dan Allah melihat apa yang kamu lakukan." (AI-Hadid : 4)
Oleh itu orang beriman tidak akan berasa hidup terpencil, walaupun dia bersendirian semasa bekerja atau dalam rumahnya. Allah sentiasa menyertainya. Bahkan orang yang beriman merasakan hidup bersahabat dengan, nabi-nabi dan orang-orang yang soleh dari segenap umat dan zaman seperti firman Allah yang bermaksud:
"Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul, mereka itu adalah bersama orang-orang dianugerahkan nikmat oleh Allah, iaitu Nabi-nabi, orang-orang yang benar, orang-orang yang syahid dan orang-orang yang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya".
Orang beriman juga selalu berbisik dan berdoa kepada Allah dalam solat dan ibadahnya. Oleh itu dia berasa tenang dan gembira kerana tidak keseorangan.

Tidak ada komentar: